APRIL 2025

Lebih RM4 Bilion Untuk Projek Tebatan Banjir Di Sarawak


KUCHING: Kerajaan memperuntukan lebih RM4 bilion majoriti bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sarawak tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, jumlah besar itu mencerminkan komitmen kerajaan membina sistem tebatan banjir berkesan.

“Secara keseluruhan, saya melihat kita akan mendapat peruntukan lebih RM4 bilion, majoritinya bagi pelaksanaan projek-projek tebatan banjir di Sarawak di bawah Bajet 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program JIWA Komuniti MADANI dan Media di Kampung Segedup, di sini, hari ini.

Antara kawasan dikenal pasti menerima manfaat termasuk Kuching yang bakal memulakan tiga fasa projek RTB dengan kos melebihi RM2 juta dan projek serupa juga dirancang di daerah-daerah lain seperti Miri dan Sibu.

Selain itu, beliau mendedahkan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan sebanyak 19 projek menangani banjir di Sarawak sehingga tahun ini.

Katanya  ini di bawah Rancangan Malaysia  Ke-12 (RMK12) dengan jumlah kos sebanyak RM 2.17 bilion. 

"Projek melibatkan pelbagai skop seperti tebatan banjir, mencegah hakisan pantai, mengorek kuala sungai menaiktaraf infrastruktur dan saliran bandar serta memperbaiki, mengindah, membersih dan merawat air sungai," katanya.

Fadillah berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan sebanyak lapan projek rancangan tebatan banjir (RTB) itu dengan kos berjumlah RM1.56 bilion.

Katanya, sebanyak empat projek itu telah siap iaitu RTB Sibu Fasa 3, RTB Stakan, Kuching, menaik taraf infrastruktur mekanikal dan Elektrikal untuk Kawalan Banjir dan Hakisan Pantai di Kampung Hilir Oya. 

"Manakala, sembilan projek ( menangani banjir di Sarawak) sedang dalam fasa pra-pelaksanaan dan enam projek sedang dalam pelaksanaan," tambahnya.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, JPS juga melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir di Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM37.8 juta pada 2022 sehingga 2024.

"Senarai projek pada tahun ini pula sedang dimuktamadkan dan jumlah peruntukan adalah sebanyak RM13.1,"katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap ADUN Satok Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Helmy Hamid.